




16 MAC 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya setiap negeri menyediakan perancangan tenaga kerja dan hendaklah sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan yang berkaitan untuk merealisasikannya.
Beliau juga berharap semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan serta-merta bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di negeri Perak ini secara berkesan.
“Projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Negeri Perak di kawasan luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di FB.
MESYUARAT KHAS PEMBANGUNAN
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perak.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri Perak.
Perdana Menteri berkata, pelbagai projek pembangunan dan perencanaan seperti menaik taraf dan membina infrastruktur kemudahan rakyat telah dibentang, dibedah dan dibincangkan secara terperinci yang merangkumi segala aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, utiliti dan pelancongan.
RANCANGAN TEBATAN BANJIR
“Antara projek yang menjadi keutamaan di negeri Perak adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) khususnya di Sungai Trong dan Pekan Kuala Sepetang Daerah Larut, Matang dan Selama,” katanya.
Selain itu katanya, pembinaan Klinik Kesihatan Baharu, Klinik Kesihatan Tanjung Malim yang dilihat perlu dilaksanakan dengan kadar segera.
“Saya tegaskan di akhir mesyuarat bahawa pasukan mesti terus memantapkan prestasi dan integriti di kalangan masing-masing, dan usah lagi mengulangi budaya dan kebejatan lalu yang akhirnya pasti menenggelamkan segala hasrat dan usaha murni yang kita rencanakan untuk negara,” katanya. – JM
