






Oleh: Sholina Osman
Foto: Ihsan MAIPs
17 MAC 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan peruntukan berjumlah RM3,921,502 kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi
pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs).
Kenyataan media MAIPs juga memaklumkan ia selaras dengan hasrat membina generasi akan datang yang lebih berdaya saing dan berpegang teguh kepada nilai agama dan budaya.
Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha MAIPs dalam memastikan sistem pendidikan di Perlis terus berkembang seiring dengan keperluan semasa, serta membentuk pelajar yang kukuh dari segi akademik dan sahsiah.
PENYERAHAN SUMBANGAN TERSEBUT
Simbolik penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama Bagi Tahun 2025 yang berlangsung di ibu negara pada sabtu.
Kenyataan media MAIPs juga turut memaklumkan bahawa dalam majlis tersebut Raja Muda bertitah supaya diperbanyakkan program-program kesedaran dan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berimpak.
“Penganjuran seminar, bengkel dan dialog bersama generasi muda perlu dipergiatkan agar mereka terus memahami dan menghayati kepentingan adat dalam kehidupan seharian,” titah Baginda.
KEPERLUAN MEMPERKASA PENYELIDIKAN
Pada masa yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan keperluan memperkasa penyelidikan dan dokumentasi adat istiadat Melayu Perlis.
“Usaha ini bukan sahaja bagi memastikan warisan ini tidak pupus ditelan zaman, malah dapat menjadi rujukan yang sahih bagi generasi akan datang dalam memahami asal-usul dan keunikan budaya yang diwarisi,” titah Raja Muda.
Baginda turut berharap agar MAIPs dan seluruh agensi bersamanya terus bersemangat, bermotivasi serta memperkukuh kerjasama strategik dalam melaksanakan program-program yang dapat menarik minat golongan muda untuk memahami dan menghayati adat istiadat Melayu. – JM
