






Petikan FB Fadhlina Sidek
17 MAC 2025
Pulang ke Pulau Pinang, saya ambil kesempatan mengunjungi otai-otai reformis yang amat kami kasihi serta anggota KEADILAN yang ditimpa keuzuran.
Singgah di rumah Mak Andak yang sentiasa menginspirasikan. Cokodok pisang Mak Andak adalah lagenda. Khabarnya itulah hidangan utama untuk PMX setiap kali datang ke Permatang Pauh, suatu ketika dulu.
Di akhir pertemuan, Mak Andak menitipkan pesanan penting agar sentiasa ikhlas dalam perjuangan.
Mak Andak juga sepanjang perjuangannya bersama KEADILAN telah berkorban harta dan tenaga untuk menggerakkan Wanita KEADILAN Pulau Pinang.
Mak Inson! Ini kali kedua saya menziarahi Mak Inson yang sentiasa dalam ingatan saya. Mak Inson adalah pejuang yang hadir dalam setiap episod pendewasaan parti ini.
KEHADIRAN MAK INSON
Tiada peristiwa yang dilalui tanpa kehadiran Mak Inson. Maka pesan Mak Inson kepada kami, jangan sesekali tinggalkan perjuangan ini! Susah dan senang, berkhidmatlah dengan segala daya juang yang ada.
Hati saya sedikit galau apabila sampai di rumah Aunty Salmah Bee. Sebaik sahaja dia membuka mulut bercerita, air matanya laju. Orang utara kata “ gheyau”. Tetapi pengalaman beliau dan berbicara dengannya dalam Bahasa Inggeris menunjukkan semasa mudanya beliau adalah seorang yang luar biasa.
Sempat beliau berkongsi pengalaman bertugas di Frankfurt, German ketika dihantar oleh majikannya.
SENTIASA MENJAGA KEBAJIKANNYA
Dalam keadaan kesihatannya yang semakin uzur, beliau mengucapkan terima kasih kepada wanita KEADILAN Permatang Pauh yang sentiasa menjaga kebajikannya.
Apa iktibar aktiviti ziarah rakyat oleh pemimpin? Selain hadir membawa bantuan, ia adalah untuk terus mendidik pemimpin menjadi rendah jiwa dan memahami maksud “ kullukum ra’in wa kullukum mas’ul ‘ an ra’iyyatihi”. Frasa “ mas’ul” membawa tanggungjawab yang berat.
Begitulah pasukan MADANI akan terus bekerja menyantuni rakyat!
Jangankan sekolah, rumah rakyat pun saya pasti akan sampai! – JM
