






Oleh: Sholina Osman
17 MAC 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kekal dengan pendirian menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Beliau berkata, ini kerana semua tahu akan akibatnya jika seseorang dibiarkan berkuasa selama 22 tahun.
“Pindaan ini akan direalisasikan sebaik mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen,” katanya pada hantaran di FB.
Anwar berkata demikian semasa berucap Kongres Parti Tindakan Demokratik (DAP) Ke-18.
TIDAK AKAN BERKOMPROMI
“Saya beri jaminan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam mempertahankan dasar dan nilai perjuangan kita, dengan membangunkan sebuah masyarakat demokratik dan adil, di mana tiada sesiapa pun harus dipinggirkan atau didiskriminasi,” tegasnya.
Dalam ucapan, beliau merungkai cabaran Kerajaan MADANI mengemudi negara tatkala pembangkang memperalat isu kaum dan agama habis-habisan.
Jelasnnya, mereka (pembangkang) bukannya mengkritik dasar atau membawa cadangan baharu.
Sebaliknya kata Perdana Menteri, terus menakut-nakutkan orang Melayu terhadap masyarakat Cina, khususnya DAP.
DEFENSIF DAN APOLOGETIK
Namun, beliau enggan bersikap defensif dan apologetik.
“Di hadapan teman-teman DAP, saya tegaskan bahawa parti ini punya sejarah konsisten dalam menentang rasuah, memperjuangkan hak golongan miskin serta menuntut kebertanggungjawaban dan ketelusan politik meskipun ditekan pemerintah dengan undang-undang zalim,” katanya.
Bahkan, katanya, DAP yang sering dimomokkan inilah yang pernah menjadi sahabat PAS dalam Pakatan Rakyat dan duduk semeja dengan BERSATU ketika PH diberi mandat mentadbir negara pada 2018.
“Malaysia tidak boleh mengikut rentak hipokrit pembangkang jika mahu mengangkat martabat rakyat,” katanya.
MAJU DAN STABIL
Beliau berkata, tidak ada negara yang boleh maju dan stabil jika terus membiarkan percaturan perkauman dan pelampau agama berterusan serta berleluasa.
Dalam usaha reformasi yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Harapan, Anwar sedar ada yang kurang sabar dengan perkembangan yang perlahan.
“Namun, saya tuntut teman-teman agar menggunakan kebijaksanaan,” katanya.
YANG TERGESA-GESA
Jelas Perdana Menteri, sejarah membuktikan bahawa revolusi yang tergesa-gesa sering gagal.
Namun kata beliau, ini bukan alasan untuk menyekat perubahan.
Hakikatnya, reformasi di bawah Kerajaan MADANI telah pun bermula.
“Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal digubal bagi menyerahkan kuasa Perdana Menteri dalam unjuran ekonomi kepada Parlimen, Akta Perkhidmatan Parlimen dihidupkan semula demi memberi kebebasan kepada Parlimen dan menyuburkan demokrasi, selain pindaan Perlembagaan dilaksanakan bagi memartabatkan wanita dalam isu hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara,” katanya. – JM
