







Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2025
Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) telah memeriksa 822 premis dengan nilai sitaan berjumlah RM2.7 juta menerusi Ops Mulia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 8,212 naskhah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran disita.
Beliau berkata, sebanyak 160 kertas siasatan telah dibuka.
NASKHAH AL-QURAN
“Oleh itu saya menyeru agar masyarakat mendapatkan naskhah al-Quran yang mempunyai perakuan KDN bagi memastikan kesahihan dan kesuciannya terpelihara,” katanya menerusi perkongsian di FB.
Saifuddin berkata, bahagian PK KDN giat memastikan kepatuhan terhadap Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 melalui Ops Mulia.
“Selain itu jabatan ini juga menjalankan Program Pemuliaan al-Quran bagi melupuskan naskhah yang rosak atau tidak sah,” katanya.
PADA PROGRAM RAMADAN
Terdahulu Saifuddin hadir pada program Penerapan Nilai-Nilai Murni Sempena Sambutan Nuzul Quran dan Ihya Ramadan Bersama Menteri Dalam Negeri anjuran PK KDN di Masjid Al-Islah, Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, Kedah.
Turut hadir adalah pelajar-pelajar tahfiz dan juga masyarakat kampung sekitar Bandar Baharu yang telah memeriahkan sambutan Nuzul Quran di sana.
Beliau juga menyampaikan sumbangan Quran kepada wakil 18 buah tahfiz di sekitar Bandar Baharu. – JM
