






24 MAC 2025
Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat memberi fokus kepada pelbagai aspek pembangunan, baik jangka pendek dan panjang apabila kestabilan politik terus terpelihara dan dikekalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini sekaligus membantu kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat, termasuk di Sabah, selain berjalan seiring dengan perubahan teknologi dunia seperti transisi tenaga, melaksana pelan perindustrian dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berucap demikian semasa hadir pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran.
RIBUAN MASYARAKAT TEMPATAN
Ia dihadiri oleh ribuan masyarakat tempatan dalam suasana penuh harmoni.
Menerusi hantaran di FB, Anwar memberitahu beliau turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal, wakil rumah kebajikan, masjid dan surau terpilih.
“Di kesempatan yang ada, saya juga menyantuni masyarakat setempat dalam mengeratkan silaturrahim bersama pemimpin, warga Tuaran dan kawasan sekitarnya,” katanya.
“Di penghujung Ramadan ini, moga keberkatan bulan yang mulia terus dirasai dan dinikmati Ramadan kita semua dalam mengukuhkan keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara yang kita cintai,” tambah beliau lagi. – JM
