Penyediaan kemudahan asas, pembangunan ekonomi perlu dipacu seiring demi keselesaan rakyat – PMX

24 MAC 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan penyediaan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi sentiasa seiring dipacu untuk keselesaan kehidupan rakyat di negeri Sabah.

Sehubungan itu beliau memberi penekanan supaya projek bekalan elektrik, pembinaan taman perindustrian, perumahan rakyat dan pembaikan jalan raya di negeri ini berjalan lancar.

Perdana Menteri berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk beberapa siri lawatan kerja termasuk Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang turut disertai Ketua Menteri, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para pegawai kanan Persekutuan dan Negeri.

STATUS PROJEK SAKIT

“Sewaktu mesyuarat di Pejabat Daerah Tuaran ini, perbincangan terarah kepada prestasi pencapaian pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di negeri Sabah termasuk status projek sakit, permohonan projek keutamaan negeri bagi tahun 2026 dan status kemiskinan tegar,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, turut disentuh inisiatif-inisiatif program Sabah Maju Jaya (SMJ), status Projek SejaTi MADANI di Sabah, status Projek Kampung Angkat MADANI di Sabah, status Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta permohonan tambahan pembaikian jalan raya di negeri Sabah.

“Sekalung penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah dan seluruh jentera pentadbiran negeri serta semua kepimpinan masyarakat setempat yang telah menjunjung kebersamaan amat tinggi serta menjalin kerjasama erat dalam memastikan kestabilan politik yang baik agar pembangunan ekonomi serta tarikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan jayanya di negeri Sabah ini,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *