Isu Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman selesai tapak baharu dikenalpasti – Dr Zaliha

Oleh: Sholina Osman
25 MAC 2025

Kerajaan telah mengenal pasti satu tapak baharu dan terletak berhampiran tapak asal bagi tujuan penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan ini hasil rundingan dengan pelbagai pihak termasuk bersama pihak kuil yang telah bersetuju dengan perkara ini.

Beliau berkata, tapak baharu ini berkeluasan 4,000 kaki persegi, setara dengan saiz kuil yang sedia ada.

“Tapak ini adalah merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

MENARIK PERHATIAN UMUM

Dr Zaliha menjelaskan Kerajaan mengambil maklum mengenai isu penempatan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman yang telah menarik perhatian umum dan pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau berkata, pembangunan tapak baharu ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuat kuasa.

“Kerajaan juga mengulangi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan ke atas struktur kuil sedia ada,” tegasnya.

Dr Zaliha berkata, kuil tersebut akan terus dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni.

BAGI KES INI

Dalam masa yang sama kata beliau, Kerajaan ingin menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes ini sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi rumah ibadat lain.

“Setiap isu melibatkan rumah ibadat
akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan.

TIDAK MEMANIPULASIKAN ISU

Beliau menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.

“Polemik ini harus dihentikan segera dan kita semua terus memelihara keharmonian dan keamanan yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara,” katanya.

Dr Zaliha berkata, Kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama, dalam masa yang sama memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *