








Oleh: Sholina Osman
25 MAC 2025
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti 26 jenis barangan bagi dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
(SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang berkuatkuasa mulai hari ini, iaitu dari 24 Mac hingga 7 April 2025.
Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, berbanding tahun lalu 2024, hanya 22 jenis barang yang dikawal pada SHMMP Hari Raya Puasa.
“Sebanyak 4 barangan yang ditambah di seluruh negara iaitu bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan,” katanya dalam kenyataan media.
SESI TURUN PADANG
Terdahulu beliau mengadakan sesi turun padang di Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan bersempena bermulanya pelaksanaan
SHMMP Hari Raya Puasa 2025.
Jelasnya, sesi ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
“Pihak Kementerian sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk
menstabilkan harga barangan keperluan akibat permintaan yang tinggi bagi menghadapi musim perayaan,” katanya.
KEBAJIKAN HIDUP RAKYAT
Pada masa yang sama, katanya, pelaksanaan skim ini, merupakan salah satu langkah Kerajaan bagi menjaga serta memelihara kebajikan hidup rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar atau di luar bandar bagi persediaan sambutan perayaan Hari Raya Puasa 2025.
Beliau berkata, ia sesuai dengan hasrat Kerajaan yang hanya menetapkan harga maksimum.
“Peniaga pula digalakkan menjual barangan pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh mereka adalah lebih rendah,” katanya.
Dr Fuziah berkata, skim ini akan dilaksanakan selama 15 hari iaitu 7 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 7 hari selepas perayaan. – JM
