

Oleh: Sholina Osman
26 MAC 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menangkis dakwaan Kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.
Jelasnya, Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan
sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan.
Malahan katanya tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah beliau umumkan secara rasmi semalam.
PERBINCANGAN SECARA HARMONI
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil
perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang,” katanya dalam kenyataan media.
Ia berhubung dengan penjelasan terhadap dakwaan yang tular di media sosial, khususnya menerusi hantaran oleh Saudara Firdaus Wong Wai Hung di laman Facebook beliau semalam, yang mendakwa dengan pertanyaan kononnya Kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Dr Zaliha berkata, yang paling utama, pembinaan Masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.
DIJADIKAN SEBAGAI RUJUKAN
“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang,” katanya.
Dr Zaliha menjelaskan ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak
berfaedah ini dan jangan kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” ujarnya. – JM
