DBKL perjelas isu viral “abang belon” di Jalan TAR

Oleh: Sholina Osman
29 MAC 2025

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil maklum mengenai
penularan sebuah video melibatkan insiden membabitkan tindakan
penguatkuasaan ke atas penjaja belon tanpa lesen di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 28 Mac 2025 (Jumaat), sekitar jam 11.50 malam.

Kenyataan media DBKL hari ini memberi penjelasan situasi sebenar berhubung perkara ini.

Ketika melakukan rondaan berkala, anggota penguat kuasa DBKL mendapati kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kehadiran mereka telah menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan, terutamanya ketika musim persiapan sambutan Aidilfitri yang menyaksikan kehadiran pengunjung yang terlalu ramai.

AKAN MEMBERI TEGURAN

Seperti amalan biasa, DBKL akan memberikan teguran terlebih dahulu
sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan tersebut.

Namun begitu, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus
berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali.

Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

MENJADI LEBIH TEGANG

Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang
kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.

Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.

LOKASI TUMPUAN RAMAI

Kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman merupakan lokasi tumpuan ramai, lebih-lebih lagi untuk membuat persiapan akhir menyambut Syawal, dan DBKL bertanggungjawab memastikan keselamatan, kelancaran pergerakan orang awam serta pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun, DBKL akan menjalankan siasatan lanjut dan
mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang
terlibat dalam insiden tersebut.

Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak dari berlaku.

Satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian ini.

TANPA MENGAMBIL KIRA

DBKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum.

Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman.

Sehubungan dengan itu, DBKL memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan selain turut menyeru agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi.

DBKL akan berusaha untuk terus
memastikan keharmonian dan keselamatan awam sentiasa terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *