DBKL rehatkan tiga penguat kuasa kes viral “abang belon”

Oleh: Sholina Osman
30 MAC 2025

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merehatkan buat sementara susulan kes tiga anggota penguat kuasanya yang terlibat dalam insiden dengan peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman dua hari lalu.

Datuk Bandarnya, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, tindakan ini diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL.

Selain itu katanya, siasatan juga akan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat
dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur
tangan.

“Keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” katanya.

TIDAK AKAN BERKOMPROMI

Maimunah berkata, DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan
sebarang bentuk salah laku warga kerja, sekiranya dibuktikan bersalah,
terutamanya yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

“DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan
kepada semua pihak,” katanya.

Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai.

SEDANG MENERIMA RAWATAN

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan juga telah mewakili DBKL menziarahi Muhamad Za’imuddin Azlan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

DBKL turut akan mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan beliau sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut
dan keperluan perubatan semasa.

“Kami menyeru agar semua pihak mengelak dari membuat spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *