Bas MEKAR JPN ke lokasi mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights

Oleh: Sholina Osman
2 APRIL 2025

Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menggerakkan perkhidmatan Bas MEKAR ke lokasi mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.

Kenyataan media JPN memaklumkan ianya bagi meringankan beban mangsa yang tentunya menghadapi kesukaran untuk ke Pejabat JPN pada masa sekarang.

“Inisiatif ini turut bertujuan untuk memastikan mangsa kebakaran dapat memperoleh dokumen penting mereka dengan segera, sekaligus memudahkan sebarang urusan rasmi yang memerlukan dokumen tersebut kelak,” kata kenyataan media.

JPN komited untuk memberikan bantuan terbaik kepada masyarakat yang terjejas dan berharap usaha ini dapat membantu mangsa serta keluarga mereka dalam situasi yang mencabar ini.

KEHILANGAN KAD PENGENALAN

Mangsa yang kehilangan kad
pengenalan, sijil kelahiran, atau dokumen lain yang dikeluarkan oleh JPN boleh mendapatkan dokumen gantian tersebut tanpa sebarang bayaran.

Bas MEKAR JPN akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra, Putra Heights pada hari esok, 3 April 2025 (Khamis), dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan ini, orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *