KPT salur bantuan, arah IPT laksana kelas fleksibel pelajar terjejas insiden kebakaran

7 APRIL 2025

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil proaktif membantu pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terkesan akibat tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dengan mengambil pendekatan menyeluruh meliputi bantuan kewangan, fleksibiliti akademik dan sokongan psikososial.

Menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), KPT menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM2,000 kepada setiap pelajar IPT yang terlibat bagi membantu mereka menampung kerugian peranti seperti komputer riba, tablet dan bahan akademik lain yang musnah dalam insiden itu.

“Sehingga pukul 2.30 petang, 6 April
2025, seramai 85 pelajar daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti telah dikenal pasti dan menerima bantuan, sama ada secara terus ke akaun bank atau disampaikan secara tunai kepada pelajar yang kehilangan MyKad dan kad bank,” kata kenyataan media KPM di FB.

Bagi memudahkan proses pendaftaran, pengesahan dan penyaluran bantuan, kaunter operasi YPS telah dibuka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights dari pukul
10.00 pagi hingga pukul 2.00 petang, 6 April 2025.

SECARA DALAM TALIAN

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, KPT sebelum ini turut mengarahkan semua Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti untuk memberi fleksibiliti termasuk melaksanakan kuliah secara dalam talian serta menyediakan kelas tambahan kepada pelajar yang tercicir susulan tragedi itu.

“UA memang menawarkan fleksibiliti dan bersedia menyokong pelajar yang terbabit dalam tragedi letupan kebakaran paip gas ini,” katanya.

“Kita tidak mahu tragedi ini menyebabkan sebarang kelewatan atau mengganggu fokus mereka dalam pelajaran,” katanya selepas menyerahkan bantuan kewangan kepada pelajar terjejas.

Beliau turut menegaskan bahawa IPT perlu memberi kelonggaran pendaftaran kepada pelajar yang belum dapat melapor diri kerana masih terkesan secara fizikal atau emosi.

BANTUAN YANG DISALUR

Dalam masa sama, KPT akan bekerjasama dengan Kementerian Digital untuk mengenal pasti pelajar yang mengalami kerosakan peranti agar bantuan yang disalur tidak bertindih dan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.

Dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh pelajar, KPT turut mengaktifkan sokongan psikososial menerusi khidmat kaunseling yang disediakan oleh kaunselor berdaftar dan pakar perubatan universiti.

“Kami sedar walaupun pelajar ini kembali ke kampus, ada antara mereka mungkin masih terkesan emosi kerana tragedi ini. Oleh itu, semua universiti diminta bersiap siaga dengan pasukan sokongan psikologi,” tambahnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *