Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bakal menjadi simbol kemajuan ummah – Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
11 APRIL 2025

Pembinaan masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diharap bakal menjadi simbol kepada kemajuan ummah dalam kerangka syariat, dan menjadi mercu tanda yang melambangkan kesungguhan Negeri Perlis dalam memartabatkan institusi agama Islam.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, malah masjid ini nanti bukan sekadar rumah ibadah, malah berperanan lebih meluas sebagai pusat dakwah, pembangunan sahsiah, pendidikan Islam, dan pengukuhan perpaduan ummah.

“Ini kerana masjid adalah jantung kepada masyarakat Islam; menjadi tempat sujud, tempat menimba ilmu,
dan tempat menyatukan hati-hati dalam kalimah tauhid,” titah Baginda ketika menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis pagi ini.

SAMBUTAN JUBLI PERAK

Ia bersempena Sambutan
Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Raja Perlis dan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-82 tahun.

Berkenan berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda Baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, masjid ini juga diharapkan menjadi mercu kebanggaan rakyat
negeri ini dan menjadi contoh dari segenap segi iaitu seni bina,
pentadbiran, pengurusan, dan pengimarahan.

SATU LEGASI PEMERINTAHAN

“Saya beranggapan pembinaan masjid ini juga sebagai salah satu legasi pemerintahan saya yang mana saya amat menitikberatkan
penekanan pembangunan jasmani dan rohani yang seimbang,” titah Baginda.

Titah Baginda, ia hendaklah
menjadi manifestasi kepada pegangan agama negeri iaitu Ahlus
Sunnah Waljamaah seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri ini.

“Saya menyeru semua pihak, sama ada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti setempat mahupun para individu, untuk terus
menyokong usaha pembangunan masjid ini dari segi kewangan,
tenaga dan juga semangat,” titah Baginda

Tambah Baginda, masjid ini adalah milik ummah, dan tanggungjawab memakmurkannya juga adalah milik bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *