







15 APRIL 2025
Permergian bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana amat dirasai kehilangannya oleh semua rakyat negara ini.
Begitu juga dengan barisan Menteri Kerajaan Perpaduan, menukilkan rasa sedih di FB masing-masing dan menyifatkan pemergian Allahyarham Pak Lah sebagai satu kehilangan yang besar kepada negara.
SUMBANGAN DALAM PENDIDIKAN – FADHLINA
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan sumbangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pendidikan dan pembangunan modal insan sememangnya besar.
Gagasan Islam Hadhari yang memenuhi citra masyarakat kontemporari dan inisiatif seperti J-Qaf yang menyumbang kepada pemerkasaan Pendidikan Islam pastinya akan sentiasa dikenang.
Perjuangan Allahyarham Tun Abdullah dalam memartabatkan pendidikan dan modal insan sebenarnya telah bermula jauh lebih awal sewaktu masih bergelar pelajar.
Menerusi aktivisme Allahyarham dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai (PPMPPSP) serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), beliau telah memperjuangkan agenda pendidikan.
Sewaktu menjawat jawatan Menteri Pelajaran (1984-1986), Allahyarham Tun Abdullah terlibat secara langsung dalam pengoperasian Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang pada waktu itu masih pada peringkat awal pelaksanaan.
Allahyarham turut menyumbang kepada pembangunan modal insan menerusi penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah (1985) serta pemerkasaan profesionalisme keguruan menerusi Institut Pengurusan Pendidikan Negara (IPPN) yang kini adalah Institut Aminuddin Baki (IAB).
Perkembangan pesat IPPN juga telah membawa kepada perpindahan operasi ke kampus di Genting Highlands (Kini IAB Cawangan Genting Highlands).
Sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) yang bertujuan untuk membina negara bangsa menerusi sistem pendidikan yang berkualiti tinggi.
Begitulah antara sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada pendidikan negara dan pembangunan modal insan.
“Bersemadilah dalam tenang wahai negarawan berjiwa besar. Semoga Allah SWT mengangkat darjat mu, serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” kata Fadhlina.
PAK LAH BAPA PEMBANGUNAN NODAL INSAN – DR ZALIHA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di FB juga turut memberi penghormatan terakhir pada Istiadat Pengebumian Negara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5 di Masjid Negara seusai Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Pasti, pemergian Pak Lah yang merupakan Bapa Pembangunan Modal Insan cukup dirasai oleh segenap rakyat serta merupakan satu kehilangan besar buat negara. Legasi dan jasa beliau akan terus subur dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia,” kata Dr Zaliha.
TENANGLAH PAK LAH DI NEGARA ABADI – FAHMI
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil juga hadir ke Masjid Negara bagi memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah.
Beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham dikurniakan keampunan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beriman dan beramal soleh.
“Tenanglah dikau di negeri abadi,” kata Fahmi menerusi hantaran di FB.
PAK LAH NEGARAWAN BERJIWA TENANG – SAIFUDDIN
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail amat sedih dengan berita pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.
Pak Lah, Bapa Pembangunan Modal Insan Negara adalah seorang negarawan berjiwa tenang, pemimpin berhemah tinggi, dan insan budiman yang sentiasa mengutamakan perpaduan serta kesederhanaan dalam setiap langkahnya.
Secara peribadi saya amat kagum dan sentiasa memandang tinggi kepimpinan beliau yang membawa nafas baru kepada negara — memperjuangkan Islam Hadhari, menekankan integriti dalam pentadbiran, dan membuka ruang demokrasi yang lebih luas. Di bawah kepimpinan beliau juga, ekonomi negara terus stabil dan diplomasi Malaysia dihormati di persada antarabangsa. Saya pasti semua rakyat Malaysia akan sentiasa menghargai jasa beliau.
Pak Lah akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang sabar, tidak pernah meninggi suara, namun tegas dalam prinsip. Beliau mengajar kita bahawa kekuatan seorang pemimpin tidak semestinya datang dari suara yang lantang, tetapi dari hati yang ikhlas dan niat yang tulus.
Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Terima kasih Pak Lah atas segala jasa dan bakti yang tidak ternilai kepada tanah air ini,” kata Saifuddin dalam hantaran di FB.
MENCURAH KHIDMAT BAKTI TIDAK TERNILAI – MAT SABU
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Kelima Malaysia, yang telah kembali ke rahmatullah pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah mencurahkan khidmat bakti yang tidak ternilai kepada tanah air, khususnya dalam memimpin negara dengan pendekatan yang berhemah, bersederhana dan penuh kebijaksanaan.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Semoga keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini,” kata Mohamad dalam perkongsian di FB.
Beliau merakamkan ucapan takziah dan simpati yang setulusnya kepada seluruh keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, atas pemergian beliau. – JM
