Sarawak ada 156 NADI termasuk dua baharu di Pending dan Padungan

Oleh: Sholina Osman
16 APRIL 2025

Sarawak kini mempunyai 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negeri yang berperanan penting dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi rakyat.

Kenyataan media MCMC memaklumkan jumlah ini termasuk dua NADI baharu iaitu di Pending dan Padungan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching telah merasmikan dua NADI ini baru-baru ini.

“Penubuhan NADI merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan kemudahan teknologi
maklumat dan pembangunan komuniti serta komitmen serius kerajaan dalam memperluas pelaksanaan Perkhidmatan Pintar NADI, khususnya melalui inisiatif Program NADI x Keusahawanan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi
komuniti setempat,” kata kenyataan itu.

LATIHAN ASAS PERNIAGAAN

Di bawah teras ini, pelbagai program keusahawanan telah dirangka dan dilaksanakan, termasuklah NADIpreneur, yang menyediakan latihan asas perniagaan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada peserta yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Antara komponen penting dalam program ini ialah NADI EmpowHER, yang memberi fokus khas kepada pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan menerusi pendedahan kepada ilmu perniagaan dan latihan kendiri.

Setakat 31 Mac 2025, seramai 3,390 wanita telah menyertai latihan keusahawanan di bawah Perkhidmatan Pintar NADI, merangkumi hampir 85 peratus
daripada keseluruhan peserta NADIpreneur.

NADI x Keusahawanan pula menyasarkan penglibatan sebanyak 7,000 peserta dalam kalangan komuniti seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus penyertaan disasarkan daripada golongan wanita.

Latihan ini dilaksanakan secara berperingkat di semua pusat NADI bagi memastikan akses yang menyeluruh kepada komuniti. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *