






Oleh: Sholina Osman
20 APRIL 2025
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Kilauan Warna Warni 2025 di Dataran Pulau Ketam, Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Berkenan berangkat adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Exco Pelancongan dan Seni Budaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Program anjuran ADUN Kuala Perlis tersebut diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Baginda.
Ia disekalikan juga dengan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kuala Perlis 2025.
MENCERMINKAN NILAI KETERBUKAAN
Abu Bakar dalam ucapan aluannya berkata, program Kilauan Warna Warni ini mencerminkan nilai keterbukaan, perpaduan dan semangat kekeluargaan yang menjadi nadi kepada keharmonian rakyat Negeri Perlis dan juga merupakan salah satu platform yang amat bermakna dalam mempromosikan keunikan budaya dan hospitaliti rakyat Perlis kepada para pelancong, baik dari dalam mahupun luar negara.
“Pada hemat saya, program pada kali ini juga amatlah bermakna kepada semua umat Islam malahan ia juga amat bermakna bagi yang bukan beragama Islam,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah kerana ia merupakan peluang untuk rakyat kita yang berbilang kaum, agama dan budaya dapat bersama-sama berkongsi keceriaannya”, tambah Exco Pelancongan dan Seni Budaya Negeri Perlis itu lagi.
PENYEDIAAN MAKANAN TRADISI
Raja, Raja Perempuan dan Raja Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik penyediaan makanan tradisi oleh penduduk Kampung Warna Warni tersebut iaitu dengan mengacau dodol bersama penduduk setempat.
Pelbagai program dan aktiviti telah diadakan antaranya Pertandingan Keceriaan Kampung yang melibatkan tujuh kampung di sekitar Kampung Seberang Ramai, Penyediaan Masakan Tradisi Kuala Perlis dan banyak lagi.
Kemeriahan sambutan majlis yang penuh warna-warni itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api. – JM
