Sarawak tampil sebagai satu model pembangunan yang teguh – PMX

20 APRIL 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sarawak menampilkan satu model pembangunan yang teguh, dengan pelaburan infrastruktur yang jauh lebih besar berbanding negeri lain, menggunakan dana negeri sendiri.

Beliau berkata, ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil sistem politik yang stabil, kepimpinan berwawasan, serta semangat untuk mencungkil bakat dan memperkukuh pentadbiran.

Perdana Menteri berkata, perkembangan kemajuan Sarawak yang cukup pantas ketika ini.

Malah katanya, di pentas antarabangsa, Sarawak dilihat sebagai wilayah yang berpotensi besar sebagai hab tenaga serantau.

KEKUATAN EKONOMI NEGARA

“Sumbangan negeri ini kepada kekuatan ekonomi negara amat besar, dan ia membanggakan kita semua,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Perdana Menteri meraikan Syawal bersama warga Bumi Kenyalang dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Stadium Perpaduan Sarawak.

“Gembira melihat kemeriahan Aidilfitri diraikan bersama rakyat pelbagai kaum yang menggambarkan keutuhan perpaduan di Sarawak,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, sambutan Aidilfitri ini membawa makna yang lebih besar kerana ia ruang untuk kita bermaafan, merapatkan silaturahim, dan mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama.

EKONOMI GLOBAL TERJEJAS

Kata beliau, dunia hari ini tidak menentu tatkala ekonomi global terjejas akibat dasar tarif yang diputuskan secara sepihak.

Dalam keadaan begini katanya, semua pihak perlu perkukuh daya tahan dan daya saing negara melalui pendidikan berkualiti, latihan kemahiran, dan pendekatan baharu dalam ekonomi.

“Saya gembira melihat perkembangan positif di Sarawak dalam banyak bidang termasuk pendidikan, penyelidikan dan industri tenaga,” katanyq.

Malah katanya, inisiatif seperti pembangunan Hospital Kanser Kuching, yang didahulukan dana oleh Kerajaan Negeri, menunjukkan komitmen luar biasa untuk kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, perkembangan positif Sarawak ini menyuntik keyakinan kepada saya bahawa jika semangat yang sama disemai di seluruh negara, Insya-Allah Malaysia akan terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bermaruah,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *