


Oleh: Sholina Osman
28 APRIL 2025
Satu detik bersejarah buat Malaysia apabila Akta Perkongsian Data 2025 yang dinanti-nantikan mula berkuat kuasa.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akta ini penting kerana ia menyediakan kerangka perundangan dan berstruktur bagi perkongsian data yang selamat dan berkesan antara kementerian dan agensi kerajaan persekutuan.
“Akta Perkongsian Data 2025 mewujudkan satu proses di mana permohonan untuk mendapatkan data boleh dibuat oleh agensi-agensi persekutuan tersebut, serta menetapkan bagaimana permohonan tersebut akan dikendalikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
MENJALANKAN PENILAIAN KETAT
Gobind berkata, Jawatankuasa Perkongsian Data Kebangsaan akan menjalankan penilaian ketat ke atas setiap permohonan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam akta ini – dalam menentukan sama ada data yang dimohon boleh dikongsi atau tidak.
Beliau berkata, pendekatan ini menggalakkan akauntabiliti serta memastikan data peribadi kekal terpelihara.
Jelas beliau, akta baharu ini dijangka meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, membolehkan jabatan kerajaan mengakses data bersama secara masa nyata.
PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN
“Ini akan mempercepatkan proses membuat keputusan dan
memperbaiki koordinasi dalam penyampaian perkhidmatan kepada
rakyat,” katanya.
Gobind berkata, perkongsian dan analisis data juga penting bagi pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), terutamanya dalam membangunkan aplikasi untuk pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, pertanian, dan perancangan bandar, seterusnya menghasilkan penyelesaian yang
inovatif dan praktikal.
Jelas beliau, melalui penguatkuasaan akta ini dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina negara berteraskan AI akan dipacu dengan lebih pantas.
AKAN MEMBERI MANFAAT
Tambahnya, Akta Perkongsian Data 2025 juga akan mewujudkan Kerajaan yang lebih berhubung, berasaskan data, serta akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, melindungi kebajikan mereka, dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya menggesa semua kerajaan negeri untuk memperkenalkan undang-undang serupa yang dapat memudahkan perkongsian data antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan demi
manfaat negara secara keseluruhan,” katanya.
Gobind berkata, pihaknya sedang berusaha untuk melibatkan pemain industri dalam merangka mekanisme yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan dan sektor industri pada masa akan datang.
Langkah ini katanya, akan membolehkan penggunaan teknologi secara meluas, tadbir urus berasaskan data, serta penyelesaian teknologi masa depan yang membolehkan negara kita mengoptimumkan manfaat teknologi
untuk rakyat, dalam menghadapi cabaran masa hadapan. – JM
