



Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan UniMAP
29 APRIL 2025
Ekspo Rekacipta (EREKA) 2025 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatatkan rekod tertinggi dengan 617 penyertaan sejak diperkenalkan pada 2019.
Kenyataan media UniMAP memaklumkan ekspo kali ini juga menerima penyertaan daripada institusi pengajian tinggi ternama seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) selain UniMAP.
Terdahulu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail ketika menyempurnakan Majlis Penutup Dan Penyampaian Hadiah EREKA 2025 berkata universiti berjaya melahirkan modal insan yang berdaya saing, menyumbang kepada teknologi terkini, dan inovasi yang relevan kepada industri menerusi ekspo ini.
MENJALINKAN KOLABORASI PINTAR
Dengan itu, katanya, para penyelidik juga berpeluang menjalinkan kolaborasi pintar dan strategik dengan pihak industri untuk pembangunan produk dan teknologi melalui pembiayaan geran penyelidikan industri.
“Sebanyak enam kategori telah dipertandingkan pada tahun ini iaitu Electrical, Electronics and IoT; Biotechnology, Medical Devices, Pharmaceuticals and Health; Chemical, Advanced Material and Plastic; Mechanical, Machinery and Equipment; Food Technology and Agriculture Technology; serta Social Science, Business and Teaching Innovation,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Arau, semalam.
Turut hadir Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) UniMAP, Prof Madya Ts Dr Fathinul Syahir Ahmad Sa’ad.
INOVASI DAPAT DIPUPUK
Tambah Rizalafande, budaya inovasi dapat dipupuk dengan lebih meluas berdasarkan keterlibatan yang meluas dari pelbagai lapisan pendidikan.
“Ia dilihat dari penyertaan beberapa sekolah yang turut mengambil bahagian, antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra.
“EREKA 2025 menjadi pemangkin dan penyuntik semangat untuk mempertingkatkan produk penyelidikan inovasi yang bakal menyumbang kepada pengiktirafan di bawah matlamat strategik penyelidikan translasional seperti sistem MyMoheS, MyRA, dan QS Rating,” kata beliau. – JM
