


Oleh: Sholina Osman
30 APRIL 2025
Kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025.
Kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini memaklumkan ia selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI,
Seterusnya, pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
MUSIM PERAYAAN AIDILFITRI
Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi
menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Selain itu, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI. – JM
