






Petikan FB Fadhlina Sidek
30 APRIL 2025
Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ini memang menjadi antara acara utama yang sentiasa saya nanti-nantikan setiap tahun.
Kerana apa? Inilah ketikanya untuk kita raikan atlet murid, jurulatih, guru, pegawai dan pasukan negeri yang telah mempamerkan kecemerlangan dalam pertandingan MSSM.
Sementelah, MSSM adalah gelanggang melahirkan jaguh sukan negara yang membanggakan nama Malaysia di persada antarabangsa termasuk pada termasya Olimpik, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.
Sewaktu meyampaikan ucapan tadi, saya tekankan bagaimana keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan kemenjadian atlet murid.
Perjalanan atlet-atlet hebat kebanyakannya bermula dari rumah.
SOKONGAN PADU KELUARGA
Kecemerlangan mereka adalah berkat dukungan dan sokongan padu keluarga masing-masing.
Iltizam kami di Kementerian Pendidikan (KPM) adalah untuk terus memperkasakan ekosistem sukan.
Ini termasuk menyediakan infrastruktur terbaik di setiap peringkat.
Manakala aspek pembangunan bakat, latihan, nutrisi, sains sukan dan pengurusan juga terus diberi perhatian.
Saya tidak akan lupa dengan anak-anak hebat di Pulau Tioman.
MEREKA TIDAK GENTAR
Anak-anak ini membesar di pesisir pantai, bermain ombak setiap hari dan mereka tidak gentar akan gelombang di lautan.
Bakat mereka mengendalikan kapal layar sangat mengagumkan.
Menyedari bakat yang ada, KPM menyediakan kapal layar optimis dan memperkukuhkan program latihan pelayaran khusus untuk anak-anak tersebut. Ada antara mereka yang telah mewakili negeri ke MSSM.
SEMUA PENERIMA ANUGERAH
Tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Semoga anda semua akan terus terbilang dalam acara sukan masing-masing.
Kita semua mendambakan kilauan emas pertama di termasya Olimpik.
Berbaki tiga tahun lagi, semoga atlet muda cemerlang yang diraikan hari ini akan menyalakan obor cabaran negara dan membawa pulang pingat emas termasya Olimpik Los Angeles 2028.
Majulah sukan untuk negara! – JM
