






Oleh: Sholina Osman
2 MEI 2025
Wilayah Tashkent di Uzbekistan memilih negeri Perlis sebagai rakan kolaborasi utamanya di Malaysia.
Antara bidang strategik yang akan diberi tumpuan untuk diterokai sebaiknya pada peringkat awal kerjasama ini ialah kenaf pemprosesan dan pembungkusan buah-buahan, dan juga pelancongan dua hala terutama sekali dalam segmen pelancongan Islam.
Projek-projek terpilih dalam sektor pendidikan tinggi antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang dulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan juga dipelopori sepenuhnya dengan lapan buah universiti yang terdapat di negara Uzbekistan.
TEMPOH 20 TAHUN
Inisiatif ini diambil hasil daripada lawatan rasmi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev iaitu yang pertama dalam tempoh 20 tahun oleh ketua negara berkenaan ke Malaysia pada bulan Februari baru-baru ini yang mana difahamkan beliau dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya wilayah-wilayah di sana memilih untuk bekerjasama dengan negeri-negeri di sini dan wilayah Tashkent telah mengambil keputusan untuk bersama negeri Perlis.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Gebenor Wilayah Tashkent, Uzbekistan, Mirzaev Zoir Toirovich kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam satu majlis sembah menghadap yang diadakan di Balai Menghadap Biru, Istana Arau baru-baru ini.
Berkenan berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Delegasi Uzbekistan turut dihadiri oleh Duta Besar negara Uzbekistan ke Malaysia Tuan Yang Terutama Karomiddin Gadoev, Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Wilayah Tashkent, Aripov Tokhir, Ketua Jabatan Pelaburan, Industri dan Perdagangan Wilayah Tashkent, Sharipov Najmiddinkhuja serta Ketua Dewan Perdagangan dan Industri Wilayah Tashkent, Abdukhalilov Abdurasul.
Turut mengiring dalam sesi tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Pada kesempatan yang sama Raja Perlis bertitah bahawa negeri ini amat mengalu-alukan sebarang kerjasama ini dan akan mempermudahkan segala urusan yang dilihat mampu memberikan manfaat atau hasil dan impak yang maksimum kepada kedua-dua belah pihak. – JM
