







Oleh: Sholina Osman
5 MEI 2025
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejak 212 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup pada Disember 2025, kes yang terkait jenayah sempadan seperti penyeludupan barangan dan kemasukan migran menurun.
“Syabas saya ucapkan kepada pasukan Polis Kelantan atas komitmen dan dedikasi berterusan mereka, ia telah membuahkan hasil yang positif,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau diberikan taklimat oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung status keselamatan dan statistik jenayah semasa negeri ini semasa lawatan kerja di Kelantan.
PENYALAHGUNAAN DAN PENYELUDUPAN
Saifuddin berkata sehingga kini isu penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan masih berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
“Statistik dari tahun 2022 hingga suku pertama 2024 menunjukkan peningkatan dalam tangkapan, rampasan, serta kes sabitan berkaitan dadah — terutamanya jenis sintetik seperti pil kuda,” katanya.
Beliau berkata, Penjara Machang dan Penjara Pengkalan Chepa kini mengalami kesesakan dan lebih 80 peratus banduan di sana adalah berkaitan kes dadah.
JUGA ISU SOSIAL
Beliau berkata, penyalahgunaan dadah dan salahlaku jenayah bukan hanya isu keselamatan, tapi juga isu sosial, pendidikan, kesihatan dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan bersama masyarakat
“InsyaAllah KDN dan agensi-agensi seperti PDRM, AADK, AKPS terus komited mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Saifuddin juga telah melakukan lawatan ke Pangkalan Haram Syed Agil, Pangkalan Haram MCA dan Pos Kawalan PGA Ibrahim Pencen. – JM
