Ketua Cabang Gerik sokong penuh pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan

Oleh: Sholina Osman
6 MEI 2025

Ketua Cabang KEADILAN Gerik, Dr Ahmad Safwan Mohamad menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar yang disifatkan membawa satu pakej kepimpinan yang menggabungkan kearifan dasar, empati rakyat dan keberanian moral.

Beliau yang juga Pengarah Biro Dasar dan Kesihatan Majlis Pimpinan Negeri Perak berkata, ini adalah watak yang KEADILAN perlukan dalam fasa pembinaan semula struktur parti dan peneguhan hala tuju dasar.

Katanya, pencaloan Nurul Izzah beliau bukan kerana keturunan, tetapi atas keperluan strategik dan prinsip. KEADILAN harus kekal sebagai parti yang membawa gagasan masa depan — bukan hanya tentang memenangi kuasa, tetapi memperbetul cara kuasa itu digunakan.

“Kita memerlukan pemimpin yang mampu menyambung idealisme generasi Reformasi dengan dinamika dan keperluan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

PERMOHONAN YANG DIKEMUKAKAN

Beliau berkata, setelah meneliti pencalonan yang dikemukakan oleh rakan-rakan seperjuangan, dengan ini menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028.

Katanya, sebagai Puteri Reformasi, Nurul Izzah bukan sekadar lambang sejarah, tetapi manifestasi kepada idealisme perjuangan yang tidak pernah luntur.

“Beliau telah membuktikan bahawa prinsip boleh kekal utuh meskipun diuji oleh kekuasaan dan realiti politik di mana dari awal usia, beliau tidak memilih jalan selamat — sebaliknya menempuh arus perjuangan dengan keberanian yang jarang dimiliki oleh pemimpin seusianya,” katanya.

Dengan pengalaman sebagai Ahli Parlimen, bekas Naib Presiden parti, penggerak reformasi institusi, serta aktivis hak asasi manusia, beliau membawa satu pakej kepimpinan yang menggabungkan kearifan dasar, empati rakyat dan keberanian moral. Ini adalah watak yang KEADILAN perlukan dalam fasa pembinaan semula struktur parti dan peneguhan hala tuju dasar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *