PMX terima kunjung hormat mantan PM Jepun, Fumio Kishida

6 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat mantan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini.

Beliau berkata, ia membuka ruang penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam mendepani tantangan global, khususnya di lapangan peralihan tenaga dan kelestarian.

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menegaskan iltizam untuk meneraju usaha serantau ke arah masa depan yang rendah karbon,” katanya dalam hantaran di FB.

TEKNIKAL DAN PENYELIDIKAN

Beliau berkata, dalam semangat yang sama, kita menyambut baik dukungan teknikal dan penyelidikan canggih daripada Jepun, termasuk melalui inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC) terutamanya dalam menyegerakan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) secara menyeluruh dan berskala besar.

Katanya, Jepun, dengan keupayaan teknologi serta pengalaman mendalam dalam tenaga boleh baharu, bioenergi, dan teknologi pemerangkapan karbon (CCUS) telah muncul sebagai rakan yang mampu melonjak usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam inovasi tenaga mampan dan lestari.

PUSAT KERJASAMA BAHARU

“Kami turut mengusulkan prakarsa untuk menubuhkan pusat kerjasama baharu di Malaysia sebagai wahana memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam bidang teknologi, kemampanan, dan integrasi tenaga ASEAN,” katanya.

Perdana Menteri yakin bahawa melalui kesalinghubungan yang diperluas antara industri, dasar dan komuniti penyelidikan kedua-dua negara, Malaysia akan mampu mempercepat agenda peralihan tenaga, merintis penyelesaian inovatif, dan memperteguh daya tahan ekonomi serantau.

“Ini saatnya untuk bekerja ke arah pemerkasaan ekonomi demi warisan yang lestari untuk generasi penerus,” jelasnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *