25 pelajar POLIMAS Jitra sertai lawatan ilmiah keusahawan di Kelantan

Oleh: Sholina Osman
8 MEI 2025

Seramai 25 pelajar Politeknik Sutan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLMAS), Jitra, Kedah menyertai
lawatan ilmiah keusahawan di Saukass International Sdn. Bhd., Pengkalan Chepa, Kelantan.

Kenyataan media POLIMAS memaklumkan lawatan ini anjuran Unit Pembangunan Keusahawanan khusus untuk pelajar Diploma dari pelbagai bidang pengajian.

Pengarah Program Lawatan Ilmiah Keusahawanan, Dr Nor Aziza Abdul Aziz berkata, syarikat ini dipilih memandangkan pemiliknya Mohammad Ikmal Aliff Md Mustafa telah pmemenangi Johan Anugerah Usahawan Felda Luar Rancangan pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2024 anjuran FELDA.

Beliau berkata, sekaligus ia memberi peluang untuk pelajar menimba ilmu keusahawan menerusi pengalaman yang dilalui oleh Mohammad Ikmal Aliff.

MEMENUHI SUBJEK KEUSAHAWANAN

“Lawatan ini diadakan sebagai memenuhi subjek Kursus Keusahawanan yang wajib dipelajari oleh pelajar berkaitan ilmu keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, daripada lawatan ini pelajar dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana bidang keusahawanan sebagai salah satu peluang bagi menjana pendapatan lumayan berbanding dengan makan gaji dengan syarikat dan kerajaan.

Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan POLIMAS, Dr Dzulkarnain Musa berkata, program ini bertujuan memberi ilmu asas keusahawanan kepada pelajar serta membolehkan mereka melihat serta berjumpa sendiri pemilik syarikat untuk berkongsi maklumat berkaitan.

KEPADA KAEDAH PEMASARAN

Di samping itu katanya, pelajar juga didedahkan kepada kaedah pemasaran yang digunakan bagi menarik pehatian pelanggan membeli produk mereka.

Salah seorang pelajar yang mengikuti program ini Nurul Asyiqin Nor Hisham berkata, peluang mengikuti program ini disifatkan sebagai amat berharga.

Beliau berpuas hati kerana dapat melihat dan memahami dengan lebih jelas bagaimana sesebuah syarikat itu beroperasi termasuk teknik pemasaran.

BERTEMU DENGAN PEMILIK

“Paling menarik saya bertemu dengan pemilik syarikat bagi membolehkan saya mendapatkan maklumat mengenai perkembangan perniagaan ini,” katanya yang berminat menceburi bidang keusahawanan suatu hari nanti.
 
Muhammad Aiman Haikal Muhamad berkata, dengan lawatan ilmiah seperti ini telah menyuntik semangat beliau untuk mencuba bidang ini.

“Ini kerana kami mendengar sendiri penglibatan dari awal sehinggalah pengusaha yang menempuh pelbagai cabaran sebelum berjaya mengaut keuntungan lumayan,” katanya.

Bagi pemilik Saukass International Sdh Bhd, Mohammad Ikmal Aliff beliau tidak menyangka apabila syarikat miliknya telah dipilih sebagai destinasi lawatan ilmiah keusahawanan pelajar POLIMAS.

Beliau berkata, lawatan ilmiah seperti ini dapat mendekatkan lagi pihak industri dengan politeknik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *