POLIMAS adakan lawatan penandaaras ke UMK Kampus Bachok perkukuh kerjasama bidang keusahawanan

Oleh: Sholina Osman
9 MEI 2025

 
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah telah mengadakan lawatan penandaaras ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keusahawanan antara kedua-dua institusi.

Kenyataan media POLIMAS memaklumkan lawatan anjuran Unit Pembangunan Keusahawanan ini melibatkan 25 orang pelajar dari pelbagai program pengajian serta tujuh pensyarah pengiring.

“Program ini bertujuan untuk meninjau pendekatan dan pelaksanaan program keusahawanan di UMK yang terkenal sebagai universiti keusahawanan negara,” kata kenyataan itu.

MERUPAKAN INISIATIF PENTING

Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan POLIMAS, Dr. Dzulkarnain Musa berkata, lawatan ini merupakan inisiatif penting dalam menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat dengan UMK.

Beliau berkata, ini akan membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk memperkukuh program keusahawanan melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman.

“Kami berharap kerjasama ini dapat dirangka secara strategik agar manfaatnya dapat dirasai oleh pelajar dari kedua-dua institusi,” ujarnya.
 
Sementara itu, Pengarah Ignite Venture Lab UMK, Dr. Hana Yazmeen Hapiz menyambut baik kunjungan POLIMAS dan menyatakan harapannya agar jalinan ini menjadi pemangkin kepada pelbagai bentuk kolaborasi pada masa hadapan.

AMAT BERBESAR HATI

“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan daripada POLIMAS,” katanya.

Beliau berharap lawatan ini membuka ruang kepada pertukaran idea, pengalaman, serta pendedahan dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan, bukan sahaja untuk pelajar, malah juga tenaga pengajar.

Dr. Hana Yazmeen turut mempelawa pelajar POLIMAS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di UMK dalam pelbagai program yang ditawarkan, yang kesemuanya menekankan elemen keusahawanan sebagai teras pembelajaran.
 
Pelajar POLIMAS, Nur Kamilia Mohd Radzi, menyatakan rasa kagumnya terhadap UMK di mana kali pertama saya menjejakkan kaki ke UMK.

TERTARIK APABILA DIMAKLUMKAN

“Saya tertarik apabila dimaklumkan UMK menawarkan 13 jam kredit berkaitan keusahawanan pada semua program pengajian,” katanya.

Sekaligus katanya, ini menunjukkan komitmen serius UMK dalam melahirkan graduan berjiwa usahawan.
 
Bagi Muhammad Adam Muhammad Nasser pula, pendekatan pembelajaran keusahawanan di UMK sangat memberi inspirasi.

Jelasnya, UMK menyediakan platform terbaik kepada pelajar untuk memulakan langkah sebagai usahawan.

PINJAMAN MODAL KECIL

“UMK mengambil pendekatan dengan peluang kepada pelajar membuka kiosk dengan pinjaman modal kecil sejak awal pengajian,” katanya.
 
Dalam sesi taklimat tersebut, Dr. Hana Yazmeen turut disertai oleh Prof. Dr. Muhammad bin Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK dan Dr. Mohd Ikhwan Aziz, Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana UMK.
 
Lawatan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada kerjasama berterusan antara POLIMAS dan UMK dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kompeten dan berdaya saing selari dengan aspirasi pendidikan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *