Zon Maritim Kuala Perlis rampas 160 set bubu naga bernilai hampir RM20,000

Oleh: Sholina Osman
9 MEI 2025

Taktik baharu guna botol-botol minuman sebagai penanda lokasi pemasangan bubu naga.

Botol-botol minuman ini mahu dilihat sebagai barang terbuang biasa yang terapung di laut sedangkan sebenarnya ia adalah sebagai penanda bubu naga.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, sebelum ini penanda kedudukan bubu naga yang telah dipasang menggunakan pancang-pancang kayu dan pelampung-pelampung kecil.

Bagaimanapun katanya, setelah kerana cara ini kerap dikesan oleh pihak Maritim Malaysia, maka botol-botol minuman pula digunakan untuk mengaburi mata penguat kuasa Maritim Malaysia.

MELALUI PENEMUAN OBJEK
 
Mohd Hashim berkata, bubu naga ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op AMAN di perairan negara melalui penemuan objek berupa botol-botol minuman yang mencurigakan terapung di permukaan laut.
 
“Pemeriksaan dilakukan dan didapati sebanyak 40 set bubu naga telah dipasang pada setiap kedudukan 0.8 hingga 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Sanglang, Perlis petang semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berikutan itu katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan bubu naga yang dirampas adalah sebanyak 160 set.

Beliau berkata, kesemua bubu naga itu dianggarkan bernilai hampir RM20 ribu itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi siasatan dan tindakan lanjut.

PERALATAN MENANGKAP IKAN
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.
 
Mohd Hashim berkata, penggunaan bubu naga boleh menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan di samping menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai yang lain.
 
Menerusi kejadian itu, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara salah dan dilarang walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti itu dilihat terus aktif dilakukan.

Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa.
 
Maritim Malaysia juga turut meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan kes seperti ini di talian kecemasan 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *