PMX umum tiga perkara penting kebajikan rakyat seluruh negara termasuk Sabah

12 MEI 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiga perkara penting demi mengangkat kebajikan rakyat di seluruh negara termasuk di Sabah.

Beliau berkata ia melibatkan Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Pelancaran Program Solar MADANI dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah.

“Kesemua ini tidak boleh dicapai tanpa kesepakatan dan kebersamaan utuh antara Kerajaaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam terus menjulang agenda memperkasakan rakyat negara ini, katanya pada hantaran di FB.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat 2025 di Tawau.

BAGI MENYELENGGARA KEDAI

Mengenai Projek Siap Tamu Desa Sabah katanya, peruntukan tambahan sebanyak RM10juta telah diluluskan bagi menyelenggara kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah lantas akan memberi keselesaan kepada peniaga serta pengunjung dalam menguruskan perjalanan perniagaan seharian,” katanya.

“Terkait Program Solar MADANI, saya maklumkan bahawa Kerajaan MADANI memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan kampung demi keselamatan rakyat, terutama di kawasan pedalaman di seluruh negara,” katanya

Anwar berkata, program SOLAR MADANI dilancar dengan projek rintis di Tawau ini melibatkan 40 tiang lampu solar, hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penglibatan komuniti setempat, dan menariknya prakarsa ini akan menjimatkan kos kerana menggunakan tenaga boleh baharu dan menggalakkan komuniti menjaga kemudahan demi manfaat bersama.

Di majlis yang sama, beliau menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memastikan naratif menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan dapat dijayakan.

Perdana Menteri kemudiannya melakukan tinjauan mesra di sekitar program tersebut bagi melihat sendiri perkhidmatan disediakan agensi serta jabatan Persekutuan di program berkenaan yang boleh dimanfaatkan masyarakat sekitar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *