PMX bertemu Mufti Besar Rusia Sheikh Ravil

16 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia bersama delegasinya.

Beliau berkata, pertemuan ini membuka ruang mempererat ukhuwah antara dua komuniti Islam merentasi sempadan geografi dan perbezaan budaya, di samping menjalin hubungan Malaysia dengan lebih 25 juta umat Islam di Rusia yang hidup dalam kepelbagaian aliran dan tradisi.

“Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran kepakaran, serta memperkasa industri halal di Rusia dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf dunia,” katanya dalam hantaran di FB.

PERANAN AKTIF SHEIKH RAVIL

“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan membina persefahaman dalam masyarakat majmuk Rusia,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah usaha yang amat berharga dalam dunia yang semakin dicalari perpecahan, kebencian dan prejudis.

Sebagai tanda persahabatan dan ikhtiar dakwah, Anwar menghadiahkan al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa Rusia selari dengan aspirasi MADANI mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia demi memperluas kefahaman terhadap ajaran Islam dan menangkis gelombang Islamofobia.

Sebagai balasan penuh makna, Sheikh Ravil turut menghadiahkan beliau senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang punyai sejarah panjang dan menjadi simbol kelangsungan ilmu serta warisan keindahan Islam yang merentasi benua dan generasi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *