






20 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KEADILAN mesti muncul dan paculkan sikap yang matang dan berhemah terutamanya dalam usaha dan upaya kita mengemudi negara bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan MADANI.
“Mari bersama hidupkan semangat kekeluargaan yang erat, perkuat barisan dan jentera parti dan terus gilap semangat serta idealisme,” katanya dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri berkata, berbaki beberapa hari lagi sebelum berkumpul di Johor Bahru bagi menentukan pimpinan di peringkat Pusat, Angkatan Muda dan Wanita.
“Saya ingin tegaskan keperluan kepada semua yang bertanding untuk berkempen secara sihat dalam suasana kekeluargaan,” kata Anwar yang sebelum itu merasmikan pejabat KEADILAN Cabang Langkawi dan terlibat sesi wacana bersama pimpinan dan anggota.
HENTIKAN SIRI CERCAAN
Beliau berkata, hentikan siri cercaan dan pergelutan sesama anggota serta mesti kembali kepada jalur untuk merangkul kekuatan secara bersama selain mengangkat nilai dan akhlak yang baik.
Justeru, katanya KEADILAN perlu terus menjadi contoh dan diteladani dari aspek menggilap serta menghidupkan idealisme.
“Usah kita jerumuskan wadah ini hanya kerana bibit persaingan tatkala kita memerlukan kekuatan dan buah fikiran semua pihak untuk kita hadapi pelbagai tantangan yang merundung dunia,” katanya.
Beliau selaku Presiden KEADILAN mengingatkan pimpinan cabang Langkawi serta Kedah khususnya untuk mempergiat usaha santuni masyarakat dan memberi penerangan kepada mereka terkait pelbagai dasar dan kebijakan Kerajaan MADANI. – JM
