





22 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memeterai satu persefahaman penting demi kemajuan Malaysia dan Sarawak, semalam (21 Mei 2025).
Beliau berkata, persefahaman ini melibatkan kerjasama strategik antara dua syarikat utama dalam industri minyak dan gas negara; Petronas dan Petros.
“Petronas akan terus memainkan peranannya sebagai syarikat minyak dan gas negara, manakala Petros pula diiktiraf selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak,” katanya dalam hantaran di FB.
Anwar berkata, kerjasama ini akan dilaksanakan berdasarkan kerangka undang-undang Persekutuan dan Negeri.
PETRONAS DAN PETROS
“Persefahaman ini membuka ruang kepada Petronas dan Petros untuk berganding bahu dalam memperkasa industri minyak dan gas negara agar lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.
Kerjasama ini turut merangkumi projek-projek tenaga hijau, termasuk pembangunan hidrogen dan penjanaan elektrik hatta sejajar dengan aspirasi Sarawak ke arah masa depan yang lestari dan berinovasi.
“Saya percaya, segala perbincangan lanjut berkaitan pelaksanaan kerjasama ini hendaklah dibuat berdasarkan penilaian dari segi daya maju komersial dan teknikal,” kata Perdana Menteri.
Beliau berharap semoga usaha yang dimeterai hari ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri Sarawak, demi kesejahteraan seluruh rakyat. – JM
