

22 MEI 2025
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberikan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam/Swasta (IPTA/ IPTS) untuk membuat pilihan menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal.
Kenyataan media KPT memaklumkan ia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan berlangsung pada 26-28 Mei 2025 di Kuala Lumpur.
“KPT mengambil maklum akan pelaksanaan penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya),” kata kenyataan itu.
MEMBUAT SEMAKAN LOKASI
Setiap IPT diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26-28 Mei ini untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian bagi memastikan warga tidak terkesan dengan kesesakan aliran trafik.
Pelajar dan warga IPT yang terkesan turut boleh berhubung dengan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada warga untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar. – JM
