






26 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cerminan hubungan kukuh dan berkekalan antara Malaysia dan Vietnam bakal diterjemahkan menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif kedua-dua negara dalam pelbagai sektor pembangunan.
“Saya maklumkan perkara tersebut sewaktu sidang media dengan rakan sejawat saya, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, yang kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024 lantas ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang yang berpotensi besar.
Katanya, ini termasuklah pertanian moden, pendidikan dan pembangunan modal insan, sains dan teknologi, keselamatan siber, institusi kewangan dan perbankan, serta peralihan tenaga mampan lantas mencerminkan hasrat bersama untuk mencipta masa depan yang lebih lestari dan inovatif.
Lawatan rasmi Perdana Menteri Pham Minh Chinh ke Malaysia ini turut membawa signifikan besar dalam konteks kerjasama serantau, khususnya menerusi penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Saya melihat penyertaan beliau bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi turut memperkuat suara kolektif ASEAN dalam menangani pelbagai isu serantau dan global, sejajar dengan matlamat menjadikan ASEAN lebih responsif, berdaya tahan dan relevan dalam landskap geopolitik masa kini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama erat dengan Vietnam dalam usaha mencapai kesejahteraan bersama serta memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini. – JM
