





26 MEI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa lawatan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Sonexay Siphandone menyingkap semula pertemuan sewaktu mereka menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan tahun lalu.
“Saya sempat rakamkan penghargaan di atas komitmen dan kerjasama dalam membantu Malaysia apabila kita mengambil giliran sebagai Pengerusi ASEAN bermula awal tahun ini,” katanya dalam hantaran di FB selepas majlis sidang media.
Kesempatan yang ada ini juga, beliau memaklumkan bahawa kedua-dua negara sepakat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala khususnya bakal menyambut ulangtahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Demokratik Rakyat Lao tahun hadapan.
DIPERHALUSI SECARA KESEPAKATAN
Turut disentuh dan diperhalusi secara kesepakatan adalah membangunkan ASEAN Power Grid yang akan melalui Republik Demokratik Rakyat Lao, Kemboja dan Thailand menuju ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, Pelabuhan Darat di Perlis dan Pelabuhan Thanaleng di Lao yang kini menunjukkan kemajuan pesat dan dijangka siap tahun ini.
“Kami juga membincangkan isu tenaga kerja, digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga alternatif serta nadir bumi,” katanya.
Melengkapkan lagi pertemuan ini adalah perbincangan mengenai peranan yang boleh dimainkan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 termasuk kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, yang diharapkan dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Oktober tahun ini selain bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata di Myanmar.
Terima kasih dan jumpa di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 nanti!, tegas Perdana Menteri. – JM
