







27 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan di atas kehadiran semua pemimpin, yang menjadi tanda komitmen bersama untuk mempererat hubungan strategik ASEAN-GCC dan meneroka kerjasama yang lebih luas demi kepentingan bersama.
Beliau berkata, Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah dan pengerusi bersama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 bermula pagi ini (27 Mei) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Katanya, sidang kemuncak ini penting kerana ia menghimpun dan menyatukan pimpinan dari dua rantau yang berbeza.
Beliau turut menegaskan bahawa tema Kepengerusian Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan aspirasi negara ini untuk membina pertumbuhan serantau yang saksama berpaksikan rakyat dan matlamat jangka panjang.
SIDANG KEMUNCAK PERTAMA
“Kerangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028 yang dimeterai dalam Sidang Kemuncak pertama di Riyadh menjadi panduan penting untuk memperkukuh kerjasama dalam ketiga-tiga tonggak yakni politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosial dan budaya,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, pada tahun lalu, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion.
Tambahnya, aliran pelaburan juga menunjukkan peningkatan, yang menjadi petanda jelas keyakinan terhadap masa depan kerjasama ini.
“Saya nyatakan bahawa dalam landskap global yang semakin mencabar dan tidak menentu ini, kerjasama erat antara ASEAN dan GCC menjadi semakin mustahak sebagai teras kestabilan dan pemacu pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sidang ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menzahirkan cita-cita kolektif dan menterjemahnya kepada tindakan nyata yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat di kedua-dua rantau. – JM
