PMX rakam setinggi penghargaan semua petugas, rakyat jayakan Sidang Kemuncak ASEAN

29 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam, petugas swasta dan rakyat Malaysia yang membantu menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Beliau berkata, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa semangat kerja berpasukan yang luar biasa daripada anggota keselamatan, pegawai imigresen, petugas protokol hingga ke pasukan pengurusan hotel dan mesyuarat.

“Terima kasih atas pengorbanan dan semangat luar biasa kalian,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau menjelaskan telah menyaksikan sendiri profesionalisme dan ketekunan mereka sepanjang sidang berlangsung.

TERKESAN DENGAN KESUNGGUHAN

Malah Perdana Menteri cukup terkesan dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat.

“Kita telah membuktikan bahawa Malaysia mampu memimpin dengan yakin dan bermaruah di pentas serantau dan global,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini (29 Mei).

Beliau kemudian berkongsi tentang perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan ASEAN-GCC-China yang berlangsung awal minggu ini.

“Alhamdulillah, Kepengerusian Malaysia mencatat kejayaan besar dengan kesepakatan yang jelas, inklusif dan bermakna walaupun berdepan rundingan yang rumit,” katanya.

Beliau berkata, isu kemasukan Timor-Leste, rundingan tarif Amerika Syarikat serta ketegasan terhadap kekejaman di Gaza dibincangkan secara terbuka.

“Meskipun setiap negara mempunyai keutamaan berbeza, akhirnya kita berjaya merumuskan pendirian bersama yang mempertahankan kepentingan serantau,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *