






2 JUN 2025
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim berkata, lebih 83 peratus Hutan Simpan Kekal (HSK) di Malaysia telah disijilkan di bawah Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).
Beliau berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara hutan hujan tropika dalam kelompok 10 teratas dunia daripada segi keluasan hutan yang disijilkan sekali gus mengatasi negara tropika utama seperti Brazil dan Indonesia.
“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan dasar negeri malah mencerminkan komitmen penguatkuasaan di peringkat tempatan dan kesungguhan berterusan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dalam mengamalkan prinsip pengurusan hutan yang lestari, bertanggungjawab serta berdaya saing di persada global,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Festival Hutan Hujan Nakawan sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Perlis.
MENYEMPURNAKAN MAJLIS PENUTUPAN
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan ini yang berlangsung di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat dekat Kangar.
Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Dalam ucapannya Zahari berkata empat lokasi baharu diwartakan sebagai HSK menjadikan luas
keseluruhan kawasan itu di Perlis ialah 11,140 hektar tahun lepas berbanding 10,870 hektar pada 2023.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis atas kejayaan menanam 1,039,759 pokok setakat 22 Mei lepas, iaitu mengatasi sasaran awal sejuta pokok.
82 BATANG POKOK
Dalam satu majlis lain anjuran Jabatan Perhutanan Negeri baru-baru ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi sama 25 ketua-ketua jabatan Negeri dan juga Persekutuan telah menanam sebanyak 82 batang pokok daripada spesies Meranti Temak Nipis (Anthoshorea roxburgii), Merawan Siput Jantan (Hopea odorata) dan Keruing Belimbing (Dipterocarpus grandifloras) sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 ini.
82 batang ini adalah mengambil sempena Sambutan Hari Ulangtahun Tuanku Raja dan 25 pula ialah kerana Jubli Perak Pemerintahan Baginda. – JM
