




4 JUN 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umaro Sissoco Embalo mengadakan pertemuan empat mata selama lebih 30 minit.
“Kami bicarakan potensi kerjasama dua hala serta hala tuju hubungan Malaysia–Guinea-Bissau yang kini memasuki usia setengah abad,” katanya dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri dan Presiden Embalo kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala itu.
Beliau berkata, mesyuarat ini bagi mengenal pasti beberapa bidang strategik termasuk minyak dan gas, tenaga boleh baharu, industri halal, penjagaan kesihatan, serta latihan dan pendidikan teknikal.
MEMBANGUNKAN INDUSTRI HALAL
“Saya zahirkan kesediaan Malaysia untuk membantu Guinea-Bissau membangunkan industri halal, termasuk dalam sektor makanan, kosmetik dan fesyen, melalui perkongsian kepakaran dalam pensijilan, pembangunan industri dan peningkatan kapasiti,” kata beliau.
Katq Perdana Menteri, Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan pelajar Guinea-Bissau di institusi teknikal dan vokasional di negara ini.
Di samping itu, katanya juga sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara itu melalui kerjasama teknikal dan latihan tenaga kerja.
Anwar berkata, Malaysia juga terbuka meneroka penyelesaian inovatif dalam kewangan Islam dan perdagangan karbon sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan mampan yang inklusif dan berdaya tahan.
MENYENTUH ISU GAZA
“Saya dan Presiden Embalo turut menyentuh isu Gaza, dan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berpanjangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia dan Guinea-Bissau senada bahawa komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku dan mesti terus bersuara membela keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Perdana Menteri berkata, Malaysia melihat Guinea-Bissau bukan sahaja sebagai rakan dua hala yang penting, tetapi juga sebagai pintu masuk strategik ke rantau Afrika Barat.
Justeru itu kata beliau dengan pertemuan ini ia berpotensi memacu kerjasama yang lebih luas dan bermakna demi manfaat rakyat kedua-dua negara. – JM
