PMX terima panggilan telefon Presiden Republik Islam Iran

6 JUN 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian yang mengucapkan selamat sempena sambutan Eid al-Adha.

“Saya mendoakan supaya para jemaah haji kedua-dua negara yang sedang berada di tanah suci Mekah dikurniakan haji mabrur dan menyumbang ke arah pembangunan Ummah apabila pulang ke tanah air masing-masing,” katanya dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri berkata, dalam semangat Aidiladha yang mengangkat nilai pengorbanan dan semangat keadilan beliau juga menzahirkan penghargaan yang mendalam atas usaha dan ketegasan beliau Presiden Masoud yang konsisten mempertahankan nasib warga Palestin khususnya di Gaza yang saban hari dibantai dan dizalimi rejim Zionis Israel.

MALAYSIA BERDIRI TEGUH

Beliau menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran warga Gaza.

Anwar turut menyatakan bahawa dasar luar negara Malaysia tidak ditentukan oleh kuasa-kuasa luar, sebaliknya terbina atas dasar kepentingan nasional dan keyakinan yang teguh.

“Malaysia mengecam kemunafikan negara-negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan yang bermaruah. Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” tegasnya.

Perdana Menteri merakamkan penghargaan setingginya kepada Presiden Masoud atas usaha murni beliau dalam memudahkan urusan pemulangan dua warganegara Malaysia yang sebelum ini ditahan di Iran melalui penerbangan Mahan Air.

TAKALA MENERIMA KUNJUNGAN

Anwar juga telah menyatakan penghargaan kepada Presiden Masoud tatkala menerima kunjungan dari kedua-dua Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan saudara Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi saudara Zambry Abdul Kadir baru-baru ini ke Tehran sebagai sebahagian dari usaha bersama memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi, keterjaminan makanan, perdagangan dan pelaburan, termasuk sektor minyak dan gas.

Dalam perbincangan yang sama, katanya, Malaysia menyampaikan harapan agar pihak Iran dapat menyambung semula operasi penerbangan terus dari Tehran ke Kuala Lumpur yang tentunya akan membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi hubungan ekonomi dan antara rakyat ke rakyat (people to people).

“Semoga sambutan Aidiladha pada tahun ini membawa rahmat, peneguhan iman, penyatuan umat di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *