


Oleh: Sholina Osman
7 JUN 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa tiada Maklumat Pengenalan Peribadi (PII) diakses, diproses atau didedahkan berhubung pengumpulan data telefon mudah alih (MPD) daripada Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO).
Kenyataan media MCMC memaklumkan MPD digunakan secara ketat untuk penjanaan statistik rasmi untuk menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua domain utama.
“Bagi Sektor Teknologi Maklumat (ICT) untuk menghasilkan statistik berbutir seperti bilangan langganan jalur lebar mudah alih yang aktif dan kadar penembusan di peringkat negeri, daerah, mukim, kawasan parlimen, DUN dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Manakala bagi Sektor Pelancongan
untuk menjana penunjuk seperti bilangan pelawat, dan perjalanan pelancongan domestik.
ADALAH TANPA NAMA
Data MPD yang diminta daripada MNO adalah tanpa nama dan tidak mengandungi PII.
Selain itu, MNO diberi pilihan sama ada memproses data MPD dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan menyerahkan output tanpa nama dan agregat yang diperlukan kepada MCMC.
Bagi MNO tanpa keupayaan pemprosesan dalaman, boleh serahkan data tanpa nama kepada MCMC untuk diproses.
“Dalam kedua-dua kes, tiada pelanggan individu boleh dikenal pasti melalui data yang dikumpul,” kata kenyataan itu lagi.
SUMBER BAHARU PERANGKAAN
Penggunaan MPD sebagai sumber baharu perangkaan negara merupakan hala tuju strategik yang ditetapkan oleh Kerajaan untuk memperkukuh kualiti dan ketepatan masa keluaran statistik bagi tujuan dasar dan perancangan.
Pelaksanaan MPD adalah melalui kerjasama dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Jawatankuasa Pakar PBB mengenai Data Besar dan Sains Data.
Sepanjang dua tahun yang lalu, penglibatan yang meluas dengan semua MNO telah dijalankan untuk memastikan pemahaman bersama tentang keperluan data, proses dan perlindungan privasi.
BENGKEL KEBANGSAAN MPD
Ini termasuk Bengkel Kebangsaan MPD, yang diadakan dari 2 hingga 5 September 2024, dihadiri oleh wakil dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta MNO (CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL.
Inisiatif ini selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Ia mencerminkan projek serupa yang telah dilaksanakan di negara seperti Indonesia dan Brazil, di mana data telekomunikasi tanpa nama digunakan untuk meningkatkan statistik nasional sambil melindungi privasi pengguna sepenuhnya. – JM
