




11 JUN 2025
Pentingnya jalinan kerjasama yang lebih erat antara Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan agenda kerajaan sampai ke akar umbi dan khidmat kepada rakyat terus diperkasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, MPPWP perlu berperanan sebagai komponen semak dan imbang yang efektif dalam pelaksanaan dasar serta operasi di Wilayah Persekutuan, meliputi pelbagai aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya juga menghargai sokongan berterusan kesemua barisan kepimpinan MPPWP terhadap Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang menjadi antara inisiatif utama membasmi miskin tegar di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam hantaran di FB.
BUAT KALI PERTAMA
Terdahulu Dr Zaliha mempengerusikan MPPWP Peringkat Pusat buat kali pertama tahun ini bersama semua wakil dari setiap parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Dalam mesyuarat itu juga beliau dimaklumkan sebanyak 12 projek seliaan MPPWP sedang dilaksanakan di bawah Program SejaTi MADANI.
“Saya menyeru agar MPPWP turut memainkan peranan memantau pelaksanaan projek-projek ini agar pelaksanaannya berkesinambungan dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada komuniti,” katanya. – JM
