




Oleh: Sholina Osman
12 JUN 2025
Pembangunan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang merupakan satu inisiatif dengan penglibatan pihak swasta bagi membolehkan rakyat pendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman mampu milik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan itu turut dilengkapi dengan kemudahan asas dan fasiliti yang lengkap termasuk pembangunan sekolah dan taska, surau, ruang perniagaan serta kawasan landskap dan taman.
“Projek ini dimajukan oleh pemaju swasta Skyworld,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau dibentangkan dengan konsep Pembangunan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang.
Anwar berkata, dengan sekolah menegak yang bakal dimajukan ini apabila diintegrasikan dengan pemajuan perumahan merupakan ikhtiar dalam memastikan keselamatan pelajar untuk ke sekolah.
MENGURANGKAN TANGGUNGAN KOS
Beliau percaya sekaligus ia mampu mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga.
“Prinsip ini merupakan fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan pembentukan sebuah kawasan kejiranan,” katanya.
Beliau berkata pembangunan yang bersifat ihsan serta mampu memupuk komuniti dengan nilai MADANI dan bukan sekadar kemegahan binaan dan reka bentuk.
“Saya tegaskan Kerajaan MADANI sentiasa menekankan kecepatan kelulusan dengan kerjasama merentas Kementerian dan Agensi serta dengan penglibatan Kerajaan Negeri,” katanya. – JM
