
Wartawan JM
16 JUN 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diberi penghormatan apabila nama
Baginda diabadikan pada madrasah Pusat Islam Windhoek di Namibia.
“Faizuddin Academy for Iim and Dzikr” ini sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Baginda dalam bentuk barangan dan kewangan kepada Pusat Islam Windhoek yang menguruskan hal ehwal komuniti Muslim di Namibia.
la merupakan hasil usaha Kuasa Usaha Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya.
SELAMA DUA TAHUN
Kenyataan media oleh Mohamad Rameez memaklumkan pada Ahad (15 Jun) bahawa sumbangan Baginda selama dua tahun itu termasuklah penyediaan dapur rakyat untuk golongan memerlukan selepas solat Jumaat.
“Raja Muda Perlis, melalui Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UnisiRAJ) juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar Muslim Namibia untuk melanjutkan pengajian tinggi di Perlis, Malaysia bermula September ini,” katanya.
Setakat ini, kata beliau empat pelajar Namibia telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian Islam peringkat tinggi di UniSIRAJ.
TURUT MERAKAMKAN PENGHARGAAN
Pada majlis itu, pihak pengurusan Pusat Islam Windhoek turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Malaysia – sebuah negara bukan Arab dan bukan Afrika – atas bantuannya sejak Islam mula bertapak di Namibia menerusi kumpulan pertama saudara baharu pada 1979.
Mohamad Rameez berharap madrasah itu akan menjadi titik permulaan kepada penyebaran ajaran Islam bagi membantu masyarakat Namibia memahami peranan Islam dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu, aman dan harmoni. – JM
