Raja Muda Perlis lawat Semenggoh Wildlife Centre di Siburan, Sarawak

Oleh: Sholina Osman
22 JUN 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Semenggoh Wildlife Centre yang terletak di KM 20, Jalan Puncak Borneo, Siburan, Sarawak.

Mengiringi Baginda dalam lawatan ini ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Renjer Taman Semenggoh Wildlife Centre, Muhammad Azizi Ahmad Zaini.

MENYAKSIKAN ACARA UTAMA

Sempena lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan acara utama yang menjadi tumpuan para pengunjung iaitu sesi menarik menyaksikan orang utan jantan bernama ‘Edwin’ berayun turun dari pokok untuk menikmati buah-buahan.

Semenggoh Wildlife Centre merupakan pusat pemuliharaan hidupan liar yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Bandaraya Kuching.

Ia terkenal sebagai tempat perlindungan dan pemulihan bagi orang utan yang diselamatkan, yatim piatu, atau pernah dibesarkan dalam kurungan.

DALAM USAHA KONSERVASI

Pusat ini memainkan peranan penting dalam usaha konservasi, pendidikan alam sekitar, dan penyelidikan.

Antara tarikan utamanya ialah peluang menyaksikan orang utan dalam habitat semula jadi mereka semasa sesi pemberian makanan yang dijadualkan, iaitu dari pukul 8.00 hingga 10.00 pagi dan dari pukul 2.00 hingga 4.00 petang setiap hari.

Selain orang utan, taman ini turut menjadi habitat kepada pelbagai spesies lain seperti burung enggang, kura-kura, dan mamalia kecil, menjadikannya destinasi ekopelancongan yang unik dan menarik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *