


Oleh: Sholina Osman
24 JUN 2025
Sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikenalpasti di mana 94 peratus (1,415 kandungan) telah berjaya diturunkan setakat 15 Jun 2025.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kandungan itu berjaya diturunkan hasil kerjasama dengan penyedia platform digital dan aduan awam.
“Pemantauan harian dan operasi seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember 2024 turut membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan ekploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) dari beberapa negeri,” kata kenyataan itu lagi.
Tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
DIKENAKAN HUKUMAN DENDA
Sabit kesalahan, boleh dikenakan
hukuman denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, perbuatan menghasilkan, menyebar, berkongsi, menjual, membeli, membuat capaian dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak juga merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sehubungan itu MCMC dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah PDRM menegaskan komitmen
membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian melalui penguatkuasaan berterusan dan pendidikan kesedaran.
MEMPERGIAT USAHA KESEDARAN
Sebagai pendekatan menyeluruh, MCMC turut mempergiatkan usaha kesedaran menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) yang memfokuskan kalangan pelajar, ibu bapa dan juga komuniti.
Salah satu objektif kempen ini menekankan larangan pemilikan akaun sosial media oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun dan ke bawah.
MCMC dan PDRM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, pemilik platform dan pengguna Internet agar bersama membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak.
Setiap laporan awam akan membantu siasatan dan mencegah lebih banyak penganiayaan.
Segera laporkan sebarang aktiviti dalam talian yang mencurigakan kepada MCMC melalui e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my, portal
https://aduan.mcmc.gov.my, atau terus ke balai polis berhampiran. – JM
