






Oleh: Sholina Osman
24 JUN 2025
Aksi santai Putera Raja Muda Perlis, yang juga Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, bermain alat muzik tradisional sape, mencuri tumpuan para pengunjung pada malam kedua Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025 di Kampung Budaya Sarawak, Santubong, Kuching.
Aksi tersebut dirakam sejurus ketibaan kerabat diraja Perlis itu di tapak festival, bagi menyaksikan konsert RWMF 2025 bagi hari kedua.
Syed Sirajuddin Areeb Putra mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berangkat memeriahkan hari kedua RWMF 2025 tersebut.
Berangkat sama ialah Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
KEHANGATAN SUASANA BUDAYA
Hari kedua festival menyaksikan kehangatan suasana budaya yang menggabungkan irama global dan tempatan dalam persembahan yang memukau, mencerminkan keunikan serta semangat rimba hujan Sarawak.
Ribuan pengunjung membanjiri pekarangan Kampung Budaya Sarawak untuk menikmati pengalaman muzik bertaraf dunia.
Raja Muda dan Raja Puan Muda turut berkenan beramah mesra bersama kumpulan legenda Amerika, Earth, Wind & Fire, yang ditubuhkan di Chicago pada tahun 1969.
Dikenali dengan gaya muzik yang merentas genre seperti jazz, R&B, soul, funk, disko, pop, Latin dan Afro-pop, mereka merupakan antara kumpulan paling berjaya dengan lebih 90 juta rekod terjual di seluruh dunia.
MEMBUKA TIRAI PERSEMBAHAN
Segmen “Magic Hour” yang bermula pada pukul 6:15 petang membuka tirai persembahan dengan kumpulan tempatan Naungan, diikuti oleh persembahan penuh tenaga dari Seppuku Pistols (Jepun) dan Kulāiwi (Hawai‘i).
Malam kemuncak ditutup dengan persembahan luar biasa oleh Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay, yang menyuntik semangat dan nostalgia kepada para penonton.
Selain persembahan pentas, pelbagai aktiviti sampingan turut memeriahkan festival – termasuk bengkel muzik, demonstrasi kraf tradisional, pasar seni, serta gerai makanan yang menawarkan kepelbagaian cita rasa tempatan.
Inisiatif mesra alam terus menjadi tunjang utama festival, dengan penglibatan aktif “Pasukan Hijau” dalam menjaga kebersihan serta mempromosikan amalan 3R – Reduce, Reuse, Recycle.
Secara keseluruhannya, hari kedua RWMF 2025 bukan sahaja mengangkat keindahan muzik pelbagai budaya, malah menyatukan elemen pendidikan, kelestarian dan perpaduan dalam satu pengalaman festival yang penuh makna. – JM
