Raja Perlis tegur budaya ‘Little Napoleon’ dalam MPKangar

Wartawan JM
25 JUN 2025

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegur karenah birokrasi serta budaya ‘Little Napoleon’ yang didakwa berlaku di dalam Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar).

Baginda bertitah dengan wujudnya pegawai yang mengamalkan budaya ‘Little Napoleon’ dilihat telah memburukkan nama MPKangar.

Baginda bertitah mereka ini tidak melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya iaitu melambatkan proses permohonan sehingga perkara mudah seperti tukar syarat pun memakan masa sampai bertahun.

MELALUI PENGALAMAN INI

“Saya sendiri melalui pengalaman ini di mana nak kata mangsa bukanlah, tapi lebih kurang macam itu, saya salah seorang yang kena tunggu sampai tiga tahun hanya untuk tukar syarat, mungkin tuan-tuan tidak tahu,” titah Baginda pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Wisma MPKangar di Persiaran Wawasan, Kangar.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, pada mulanya terdapat cadangan untuk menjenamakan MPKangar kepada MPPerlis memandangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan menguruskan pelbagai hal ehwal membabitkan PBT di seluruh negeri.

KALANGAN KAKITANGAN PBT

“Namun dengan kewujudan budaya ‘Little Napoleon’ dalam kalangan kakitangan PBT itu dilihat merencatkan kualiti kerja PBT itu walaupun dijenamakan semula,” titah Baginda.

Baginda melihat banyak lagi perkara yang patut diubahsuai untuk membaikkan lagi MPKangar ini namun ia tiada beza sekiranya dijenamakan semula pun perangai pegawai dan kakitangan masih sama terutama dengan karenah birokrasi dan budaya pegawai ‘Little Napoleon’.

“Masa Hari Keputeraan beta tempoh hari, beta ada sebut bahawa masih ada segelintir lagi kakitangan kerajaan yang perlu berubah fikiran dan sebagainya di mana ia ditujukan kepada kakitangan MPKangar,” titah Baginda.

“Bukan kerana beta hendak marah, tetapi menegur beberapa pegawai dalam MPKangar yang berkelakuan demikian,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *